SEBUAH sekolah agama swasta di Tanjong Karang, Kuala Selangor mengalami kerugian selepas premisnya dipecah masuk dua lelaki awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.45 pagi apabila suspek memecah masuk sebuah bilik di bangunan kedai yang dijadikan sekolah agama berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi pada hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lelaki yang belum dikenal pasti identiti dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Barang yang hilang setakat ini adalah wang tunai, namun jumlah kerugian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menerusi talian 03-3289 1222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





