SEORANG bekas kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.
Wang berkenaan dipercayai diterima daripada seorang pengarah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu mendapatkan projek penyelenggaraan jalan di pencawang elektrik bernilai kira-kira RM95 juta di seluruh Semenanjung Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, perintah reman sehingga 16 November ini dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dikemukakan agensi itu di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Menurut SPRM, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2023 hingga 2025 dengan menggunakan dokumen berkaitan perolehan dan pelantikan kontraktor bagi meyakinkan pengarah syarikat terbabit.
“Suspek juga disyaki menerima wang rasuah menerusi beberapa keping cek yang disalurkan melalui beberapa syarikat yang bertindak sebagai orang tengah,” kata kenyataan SPRM hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.





