PENGASAS Gojek dan bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim mendakwa kes rasuah yang dihadapinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan golongan profesional terhadap keadaan perundangan di negara itu.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan rayuan pembelaan terakhir di mahkamah hari ini.
Pendakwa raya mendakwa Nadiem terbabit dalam perolehan komputer riba untuk sekolah ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerugian negara sebanyak AS$125.64 juta (RM497.36 juta).
Bulan lalu, pendakwa raya memohon hukuman penjara 18 tahun terhadapnya selain menuntut beliau membayar denda dan ganti rugi sebanyak AS$336.32 juta (RM1.33 bilion).
Nadiem yang melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Gojek pada 2019 sebelum dilantik sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2024, didakwa memperoleh keuntungan peribadi sekitar AS$46.33 juta (RM183.40 juta) menerusi perolehan komputer riba Chromebook dan sistem operasi Chrome OS untuk sekolah antara 2020 hingga 2022.
Pendakwa raya mendakwa beliau menetapkan syarat tender yang hanya sesuai untuk produk Google, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat teknologi itu dalam sektor pendidikan Indonesia.
Bagaimanapun, ketika berdepan panel hakim hari ini, Nadiem menafikan semua dakwaan terbabit dan menegaskan beliau tidak terbabit dalam proses perolehan komputer riba berkenaan.
“Pakar dan saksi sudah menjelaskan bahawa tiada kerugian negara, tiada pelanggaran undang-undang, tiada pengayaan diri sendiri atau pihak lain termasuk syarikat, serta tiada niat jenayah (mens rea),” katanya.
Pendakwa raya juga mendakwa pelaburan Google dalam syarikat induk Gojek mempunyai kaitan dengan keputusan membeli Chromebook selepas beberapa pertemuan antara Makarim dan wakil Google pada 2020.
Google tidak didakwa dalam kes berkenaan.
Nadiem menegaskan pelaburan Google dalam Gojek tidak mempunyai kaitan dengan proses perolehan itu.
Pada Januari lalu, Google memaklumkan pelaburannya dalam entiti berkaitan Gojek dibuat antara 2017 hingga 2021 dan kebanyakannya berlaku sebelum Nadiem dilantik sebagai menteri.
Dalam rayuannya, Nadiem berkata, golongan profesional muda kini bimbang mereka boleh berdepan tindakan undang-undang walaupun menjalankan tugas secara profesional.
“Golongan profesional muda takut mereka akan menjadi mangsa seterusnya. Komuniti perniagaan melihat kes ini sebagai satu duluan yang buruk kerana mereka tidak memahami mengapa kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya dalam nada sebak.
Setakat ini, mahkamah sudah menjatuhkan hukuman penjara sehingga empat tahun enam bulan terhadap tiga individu yang mempunyai kaitan dengan kementerian berkenaan, termasuk seorang perunding teknologi.


