HASIL perbincangan mengenai kerjasama dengan Bersatu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dijadual diadakan Isnin depan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat berkenaan bakal memperincikan tindakan lanjut berhubung hasil perbincangan Majlis Syura Ulama parti itu, hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas setakat ini masih berjalan dan fokus perbincangan terarah kepada penyatuan ummah dan kepentingan perpaduan.
“Perbincangan turut memberi perhatian mendalam dan keprihatinan tinggi mengenai perpecahan yang berlaku yang merugikan politik nasional.
“Keputusan dan sebarang perincian dicapai mesyuarat Syura Ulama PAS akan dibawa ke Jawatankuasa Pas Pusat,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Hubungan Pas dan Bersatu kembali tegang apabila Abdul Hadi dilapor berkata, Pas akan menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Ketetapan itu dibuat Pas susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan parti Islam itu.
Minggu lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat antara lain dikatakan menerima laporan Pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi Bersatu yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Biro Politik Bersatu kemudian mengingatkan Pas supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti komponen PN berkaitan hal disiplin serta tindakan diambil untuk menstabilkan parti.
Sementara itu, Annuar berkata, mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas hari ini tidak membincangkan agenda Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan semalam.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, perbincangan berkenaan akan dibuat menerusi platform Dewan Harian Pas Pusat bersama Dewan Harian Pas Johor, minggu hadapan.


