Bekas pegawai NGO didakwa 158 pertuduhan terima suapan lebih RM98 juta

SEORANG bekas ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Ikram Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98,270,315.20.

Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan yang dibacakan selama dua jam, di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

“Mohon dibicarakan,” kata tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai jaket berwarna coklat.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-149, lelaki itu didakwa ketika kejadian sebagai seorang pegawai badan awam iaitu anggota Pertubuhan Ikram Malaysia yang ditugaskan sebagai penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang milik NGO itu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan.

Ia dengan mengambil tindakan mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana milik NGO itu, bagi sekutu tertuduh iaitu sebuah syarikat pengurusan ke akaun Maybank Islamic Cawangan Dataran Maybank milik syarikat yang tertuduh mempunyai kepentingan berjumlah RM81,950,000.

Bagi pertuduhan ke-150 hingga ke-158, bapa kepada 10 anak itu didakwa atas pertuduhan sama dengan mengambil tindakan mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana milik NGO itu ke dua akaun bank miliknya sendiri, berjumlah RM16,320,315.20.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor, Pusat Perniagaan Adenium, Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, kesalahan yang dipertuduhkan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mengguna budi bicara untuk memberikan jaminan, beliau mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin.

“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam, keseriusan kes serta nilai terlibat melebih RM98 juta.

“Syarat tambahan lain ialah pasport tertuduh disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai dan tidak boleh mendekati saksi pendakwaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi.

Sementara itu, peguam, Datuk N Sivananthan yang mewakili Fakhrudin berkata, pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

“Dia mempunyai tujuh syarikat, namun akaun bank syarikat berkenaan telah dibekukan oleh pihak SPRM.

“Akaun banknya termasuk keluarga, turut dibekukan menyebabkan gaji pekerjanya tidak dapat diberi sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Hadir sama, peguam pemerhati bagi pihak NGO Ikram Malaysia, Ashwida Abd Samad.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan sebutan semula kes ini pada 7 Ogos depan.

April lalu, media melaporkan dua individu sebuah NGO direman keseluruhan sembilan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM230 juta.

Selain 18 kenderaan mewah, SPRM menyita rumah dan hartanah kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Menerusi Ops Sutera itu, sebanyak 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta turut dibekukan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img