Simpan tepung gandum tanpa permit, KPDN sita 53 tan di kilang makanan haiwan

TINDAKAN sebuah kilang memproses makanan haiwan menyimpan 53 tan tepung gandum tanpa permit sah mengundang padah apabila bahan kawalan itu disita dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 4.30 petang di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, pihak penguat kuasa turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan sejumlah besar tepung gandum yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemprosesan makanan haiwan keluaran syarikat tersebut.

Menurut beliau, bagaimanapun pihak premis gagal mengemukakan permit atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan bahan kawalan berkenaan.

“Pengurus premis itu gagal mengemukakan permit atau kebenaran pengawal bekalan bagi tujuan menyimpan tepung gandum berkenaan yang menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pasukan serbuan menyita sebanyak 53,325 kilogram tepung gandum untuk siasatan lanjut dengan anggaran nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM100,251,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Nizam turut menggesa orang ramai termasuk pengguna, peniaga, pihak industri dan organisasi supaya terus menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyelewengan melibatkan barang kawalan.

Aduan boleh dibuat menerusi WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img