DUA lelaki didenda RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah kedai runcit, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Adi Putera Razali, 23, dan Tengku Muhammad Adam Ikhram Tengku Mohd Faizullah, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga asing di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, pada jam 7.15 petang, 9 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap setiap tertuduh dan menetapkan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Maisarah Abd Razak manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Shameer Haziq Shaharuddin.
Media sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan selepas dipercayai memukul seorang lelaki warga asing di sebuah kedai runcit.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan mangsa dipukul oleh beberapa individu sebelum dua suspek ditahan bagi membantu siasatan.






