Bekas pembantu Teresa Kok mengaku tidak bersalah menipu, terima suapan RM500,000

BEKAS pembantu khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menipu berhubung sumbangan sekolah di bawah Projek Mesra Rakyat dan menerima suapan RM500,000 pada tahun 2024.

Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, membuat pengakuan `faham, tidak bersalah’, selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

BEKAS pembantu khas Teresa Kok, Edmund Teoh Kheng Yaik (kiri) sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk pendakwaan kes menipu dan menerima suapan RM500,000 dua tahun lalu, hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan Teresa, 62, untuk mempercayai bahawa hanya dua sekolah di parlimen berkenaan memohon sumbangan Interactive Smart Board, sedangkan tertuduh tahu terdapat 16 sekolah lain memohon bantuan sama.

Dia dengan sengaja mendorong Teresa untuk bersetuju supaya tertuduh membuat permohonan sumbangan tersebut melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana pemimpin itu tidak akan bersetuju sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Off Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Jun 2024 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Kheng Yaik didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun, sebagai upah membantu mendapatkan sumbangan bagi pembekalan Interactive Smart Board dan peralatan berkaitan, kepada 16 sekolah di Parlimen Seputeh oleh TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2024 dan pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BERITA LANJUT MENYUSUL

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img