POLIS Kelantan mengesahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dilarikan sekumpulan perompak pada 12 April lalu ditemukan di Sungai Golok, baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh polis Thailand berhubung penemuan kenderaan berkenaan.
“Kita sudah dimaklumkan oleh polis Thailand berhubung penemuan kenderaan terbabit. Hanya satu ditemukan setakat ini.
“Kenderaan terbabit masih berada di Thailand kerana siasatan lanjut sedang dilakukan. Kita tunggu laporan di sana selesai,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kenderaan milik JKM Tanah Merah yang dilarikan oleh sekumpulan lelaki pada 12 April lalu ditemukan di Sungai Golok pada Khamis lalu.
Pengesahan itu berpandukan nombor pendaftaran yang tertera pada kenderaan terbabit dan pacuan empat roda dipercayai masuk ke Thailand melalui Pusat Pemeriksaan Kastam Sungai Golok.
Dalam kejadian 4.30 pagi 12 April lalu itu, sekumpulan lelaki bertopeng memecah masuk pejabat JKM Tanah Merah sebelum melarikan dua buah kenderaan milik agensi berkenaan.
Dua buah kenderaan yang dilarikan adalah sebuah Mitsubishi Triton berwarna kelabu hitam dan sebuah Toyota Fortuner berwarna hitam.


