LEBIH empat juta pekerja akan menikmati kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, iaitu peningkatan RM300 atau 17.6 peratus.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberikan ruang kepada penyesuaian model perniagaan.
Beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan, dengan mekanisme pelaksanaannya akan diperincikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam masa terdekat.
Untuk pekerja gig, beliau berkata pakej pembiayaan bersama kerajaan dan Grab bernilai RM160 juta bermula 2027 akan menyokong peningkatan pendapatan bersih serta kebajikan pekerja e-panggilan dan p-panggilan.
“Pendapatan bersih pemandu e-panggilan pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-panggilan meningkat hingga RM100 sebulan.
“Majlis Perundingan Gig sedang merundingkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial pekerja gig untuk dimuktamadkan pada awal 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 semalam mengumumkan beberapa inisiatif termasuk peningkatan gaji minimum, kebajikan pekerja gig dan peluang latihan yang memenuhi keperluan industri.
Mengenai pembangunan kemahiran, Ramanan berkata sebanyak RM8 bilion diperuntukkan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian, manakala HRD Corp dengan dana levi RM3 bilion akan menyokong tiga juta peluang latihan.
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih di institusi latihan kemahiran awam dan swasta berdaftar, manakala lebih RM40 juta melalui HRD Corp diperuntukkan untuk melatih 8,000 rakyat Malaysia dalam sektor penjagaan warga emas.
Ramanan berkata KESUMA akan memastikan peningkatan pendapatan pekerja disokong oleh kemahiran yang relevan dan perlindungan sosial yang lebih baik, selaras dengan keperluan industri serta perubahan teknologi.





