KETUA Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dipecat daripada parti itu semalam.
Beliau dimaklumkan mengenai pemecatan itu oleh Setiausaha Lembaga Disiplin Bersatu melalui WhatsApp pada jam 6 petang.
Mengulas tindakan itu, Chegubard mendakwa, Bersatu tidak lagi memperjuangkan isu rakyat dan mementingkan hanya kelompok tertentu.
“Seperti dijangka, sekitar jam 6 petang semalam, saya dipecat oleh parti melalui WhatsApp,” katanya sambil memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi malam ini, lapor BH.
Beliau yang dipilih sebagai Ketua Bersatu Port Dickson pada November 2024, berikrar untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan memerangi rasuah.
Sebelum ini, Chegubard adalah ahli PKR namun dipecat pada 2016, kemudian menyertai Bersatu pada 2020.
Terdahulu pada 10 Mac lalu, beliau mendedahkan menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin Bersatu berhubung beberapa dakwaan, termasuk tuduhan mencemarkan imej dan nama parti.
Chegubard diberi tempoh sehingga Selasa ini untuk menjawab notis itu, namun enggan berbuat demikian kerana menganggap perkara yang dibangkitkan ‘tidak masuk akal’.
Beliau mendakwa situasi itu seolah-olah menggambarkan parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan.
Bersatu dilanda kemelut dalaman di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang itu dipecat keahlian parti pada 13 Februari lalu.
Beberapa pemimpin Bersatu lain turut dipecat dan digantung selepas penyingkiran Hamzah, termasuk bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan bekas Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.


