MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam saman fitnahnya terhadap aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin dan pencipta kandungan, Nurpais Ismail dalam satu program audio siar, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan kenyataan dibuat oleh Badrul Hisham atau dikenali Chegubard menggambarkan Farhash sebagai seorang yang korup, manipulatif dan tidak layak memegang jawatan profesional serta politiknya.
Beliau berkata, tuduhan itu secara individu atau kolektif adalah “serius, merosakkan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” sehingga menyebabkan Farhash menjadi sasaran kebencian, ejekan dan penghinaan orang ramai.
Mahkamah juga mendapati kenyataan defendan menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi Farhash dalam pelbagai aspek kehidupan peribadi, politik, profesional dan perniagaan.
“Mereka telah menjejaskan reputasinya dengan menggambarkan beliau sebagai korup, tidak jujur dan tidak layak dengan gelaran serta pencapaiannya,” katanya.
Arziah menambah, kenyataan itu turut menjejaskan legasi politik Farhash dengan memberi gambaran beliau hanyalah seorang manipulator yang memanfaatkan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.
Mahkamah turut memutuskan kedua-dua defendan bertindak dengan niat jahat, dengan Badrul Hisham menyampaikan kenyataan itu seolah-olah sebagai fakta, manakala Nurpais menambah impak kenyataan itu melalui tajuk sensasi dan eksploitasi komersial, walaupun telah menerima notis pada Mei tahun lalu untuk memadam video berkenaan.
“Saya mendapati penerbitan ini jelas dan terbukti terhadap kedua-dua defendan, dengan defendan pertama (Badrul) sebagai punca kenyataan dan defendan kedua (Nurpais) sebagai penerbit yang menyebarkannya kepada khalayak ramai,” katanya.
Badrul Hisham dan Nurpais tidak hadir ke mahkamah.
Mahkamah memerintahkan ganti rugi am sebanyak RM300,000, ganti rugi bersifat teruk RM150,000, ganti rugi teladan RM100,000 terhadap kedua-dua defendan, serta kos guaman RM40,000.
Dalam samannya, Farhash mendakwa Badrul Hisham dan Nurpais telah menerbitkan pelbagai kenyataan, video dan posting di Facebook, TikTok dan YouTube pada Mei tahun lalu yang bersifat palsu, fitnah dan berniat jahat.
Beliau mendakwa, penerbitan itu menuduhnya melakukan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, salah guna pengaruh politik, serta urusan tidak wajar berkaitan kontrak kerajaan dan tokoh politik.
Menurut Farhash, kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai tidak jujur, tidak beretika dan korup, serta memberi implikasi bahawa beliau mendapat manfaat secara tidak wajar daripada hubungan politik.
Beliau turut menyatakan penerbitan itu ditonton, dikongsi dan diulas orang ramai, menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi, kredibiliti dan kedudukannya dalam masyarakat.
Farhash berhujah defendan mengetahui, atau sepatutnya mengetahui, bahawa kenyataan itu palsu dan tidak disahkan, namun gagal mengambil langkah wajar menyemak kebenaran sebelum diterbitkan, sekali gus menyebabkan beliau malu, tertekan dan kehilangan kepercayaan orang ramai.
Farhash diwakili peguam Nurin Husnina Hussein.



