BN-PN menang besar di Melaka, kepimpinan Rauf, penyatuan Melayu jadi faktor

REKOD pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri dan langkah Barisan Nasional (BN) yang berganding bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya meranapkan impian Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah negeri itu.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini Barisan Nasional (BN) bukan sahaja berjaya mengekalkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2021 malah turut memperkukuhkan kuasa pemerintahan melalui kemenangan tiga kerusi oleh  PN .

BN yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC berjaya memenangi kerusi Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal,Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Klebang,Pengkalan Batu, Ayer Molek,Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam,Merlimau dan Sungai Rambai.

Sementara itu PN menyumbang tiga kerusi melalui Pas di Paya Rumput dan Bukit Katil manakala Wawasan di Bemban selepas Dr.Mohd Yadzil Yaacub berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti undi 7,741 undi selepas mendapat 11,881 undi untuk menewaskan Calon Bersatu Muhammad Rabae Abd Hamid (4,140 undi) dan Calon Bersama Dr.Solehin Saleh (2,109 undi)

Kemenangan Ab Rauf di Tanjong Bidara, Calon Pas Rafie Ahmad di Paya Rumput dan tumbangnya Adly Zahari di Bukit Katil menarik perhatian selain kejayaan Dr.Akmal Saleh mempertahankan kerusi Merlimau manakala Mohd Noor Helmy Abdul Halem menang bergaya di Duyong dengan majoriti 10,040 undi. Beliau mendapat 15,067 undi manakala Calon PH Long Suan mendapat 5,067 undi.

Ab. Rauf yang menang hanya 364 undi di DUN Tanjong Bidara pada 2021  berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar iaitu 8,615  undi untuk menewaskan calon PH-PKR Mohd Yunazri Mustamiri . Ab Rauf memperoleh 10,079 undi  manakala Mohd Yunazri hanya memperoleh 1,464  undi.

 Di Paya Rumput, Calon PN-Pas, Rafie Ahmad dianggap mencapai kemenangan besar apabila menewaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri,  Datuk Azman Abidin yang mewakili PH – PKR. Rafie memperoleh 17,558 undi untuk menewaskan Azman  yang mendapat 10,796 undi dan Calon BERSAMA, Abdul Rashid Abu Bakar (1,137 undi) dengan majoriti 6,782 undi.

Di Bukit Katil, pengorbanan Calon PN-Pas Muhammad Ridzuan Mohd Sarif yang meninggalkan dalam perkhidmatan awam berbaloi apabila berjaya merampas kerusi itu daripada penyandang yang juga Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Muhammad Ridzuan turut menumpaskan dua calon lain iaitu Dr Aliza Che Amran (Bersama) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas).

Di Merlimau, Dr.Akmal menepati ramalan apabila mempertahan kerusi itu dengan majoriti lebih besar iaitu 8,724  undi berbanding perolehan undi majoriti pada PRN 2021 iaitu 3,248 undi apabila berjaya mengecewakan cabaran Calon PH-Amanah Rahayu Hamzah.

Ketua Pemuda UMNO itu menewaskan Rahayu selepas mendapat 11,703  undi  berbanding Ketua Wanita Amanah tersebut yang meraih 2,979  undi.

Sementara itu walaupun kekalahan Adly memberi tamparan hebat kepada PH, namun DAP terus membuktikan kekuatannya apabila mengekalkan kerusi Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh. DAP menjadi komponen tunggal dalam PH memenangi kerusi dalam PRN tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kehadiran Bersatu yang bertanding tujuh kerusi, BERSAMA 16 kerusi dan PUTRA satu kerusi gagal memberi apa-apa impak yang boleh menggugat BN,PN dan PH apabila kesemua calon mereka tewas di kerusi tandingi. Turut menerima sama ialah tiga calon BEBAS.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here