Bot pancung bawa PATI dipintas, pistol dan peluru dirampas

SERAMAI 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang tekong ditahan dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Port Dickson, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan.

Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin berjaya memintas sebuah bot pancung mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira jam 3.40 pagi.

“Bot terbabit dikesan berada kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri sebelum dipintas untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 15 individu berada di atas bot berkenaan membabitkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.

“Pemeriksaan rapi turut menemukan sepucuk pistol jenis Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup di dalam bot tersebut,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan dan barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Senjata Api 1971,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img