POLIS mengesahkan penemuan mayat seorang wanita tempatan berusia lingkungan 34 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah kondominium di Kepong Central, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan dari Hospital Selayang.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau tanda pergelutan pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dari Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan privasi keluarga mangsa.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Basir Ahmad di talian 017-2993747 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya.


