![]()
PAKEJ bufet berbuka puasa tahun ini dilihat masih ‘kayangan’ apabila ada tawaran mencecah RM200 seorang bergantung kepada lokasi, jumlah hidangan dan konsep sajian disediakan, terutama di restoran yang terkenal di sekitar ibu kota.
Berdasarkan tinjauan utusanmelayuplus, ada restoran menawarkan bufet iftar sekitar RM70 hingga RM80 seorang dengan pilihan lebih 80 jenis makanan termasuk sajian utama seperti kebab, ayam tikka, kambing panggang, nasi berempah, kari, hidangan Pakistan dan pencuci mulut seperti puding, kastard serta kek.
Bufet tersebut turut menyediakan stesen masakan secara langsung yang menampilkan hidangan panas seperti spageti, kentang putar, sosej, selain pelbagai minuman termasuk teh, jus buah, minuman berperisa serta kopi panas.
Selain itu, terdapat juga lokasi lain di Lembah Klang yang mengenakan harga hampir RM80 seorang bagi bufet berkonsepkan barbeku secara langsung, dengan pelanggan menikmati hidangan seperti kebab, ayam panggang, nasi berempah, lauk berkuah, pasta, makanan bergoreng, kek, buah-buahan dan minuman panas serta sejuk.
Di tengah bandar ibu kota pula menawarkan bufet Ramadan pada kadar lebih premium sekitar RM200 seorang bagi dewasa dengan pilihan menu yang lebih luas merangkumi masakan kampung, makanan barat, stesen kambing golek serta pelbagai jenis ulam-ulaman dan sambal tradisional.
Hidangan yang disediakan termasuk asam pedas ikan, masak lemak cili api, rendang, gulai kawah, sotong sambal, udang sambal petai serta lauk kampung lain yang sering menjadi pilihan pengunjung sepanjang Ramadan.
Bufet berkenaan turut menyediakan pilihan makanan ringan seperti spageti, kentang goreng, nuget, bubur manis, kek, ais krim serta aneka jeruk sebagai pelengkap hidangan.
Perbezaan harga ini lazimnya dipengaruhi oleh jumlah menu, jenis protein yang digunakan seperti daging import atau kambing golek, kos sewaan lokasi, serta kemudahan tambahan seperti parkir percuma, surau dan ruang berhawa dingin.
Secara keseluruhannya, variasi harga bufet Ramadan tahun ini memperlihatkan tawaran disesuaikan dengan kemampuan individu, di samping kepelbagaian menu memberi peluang kepada orang ramai menikmati pengalaman berbuka puasa di luar mengikut bajet masing-masing.


