Cadangan audit forensik kerugian hampir RM10 bilion Felda dibawa ke Kabinet – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan untuk menjalankan audit forensik terhadap kerugian dialami Felda bernilai hampir RM10 bilion akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah menteri.

“(Cadangan) itu kita bawa ke Kabinet,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maulud Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448/2026 di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini, lapor Bernama.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya audit forensik dijalankan terhadap Felda bagi menyiasat pelbagai dakwaan, termasuk penyalahgunaan kuasa dan kegagalan tadbir urus.

Menurut Ahmad Zahid, siasatan itu perlu menentukan dengan jelas punca kerugian yang dialami Felda dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, beliau juga terbuka terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Felda, namun menegaskan ia tidak boleh bertujuan menganiaya atau memalukan mana-mana individu.

Menurut Ahmad Zahid lagi, pihak yang bertanggungjawab wajar dibawa ke muka pengadilan jika terdapat bukti kukuh.

Awal bulan ini, Perdana Menteri berkata, Felda mengalami kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus dan campur tangan politik yang berlebihan.

Beliau juga dilaporkan berkata, kerajaan akan mendedahkan kepada umum dalam masa terdekat laporan oleh pasukan petugas khas mengenai Felda, termasuk dapatan berhubung masalah yang diwarisi oleh agensi itu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here