DATUK Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari untuk menentukan perkara berkaitan kerusi ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika ditanya mengenai rundingan kerjasama PH-Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.
“Kita serah kepada Amir (Datuk Seri Amirudin Shari), kita dah beri amanah kepada Amir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448/2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang hari ini.
Anwar sebelum ini sudah mengadakan pertemuan dengan Amirudin pada Ahad.
Dalam masa sama, Anwar menjelaskan, pertemuan beliau dengan Menteri Besar Selangor itu lebih tertumpu kepada penganjuran Sukan Malaysia (Sukma), dan bukannya soal politik.
“Jumpa MB Selangor pasal Sukan Malaysia (Sukma). Masa sukan mana ada masa politik,” katanya.
Ditanya mengenai peluang kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN Melaka akan datang, Anwar memberikan isyarat positif bahawa kerjasama itu sememangnya menjadi amalan yang biasa.
“Ruang kerjasama… ini biasa kerjasama. Ini semua bekerjasama,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isu rundingan kerjasama PH-BN bagi menghadapi PRN Melaka antara yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.
Fahmi bagaimanapun mengesahkan pertemuan antara Amirudin dan Anwar yang juga Pengerusi PH itu berlangsung Ahad lalu.





