Cetus protes rakyat… berapa gaji, elaun anggota DPR sebenarnya?

ANALISIS

SALAH satu punca demonstrasi yang mencetuskan rusuhan di beberapa tempat di Indonesia termasuk Jakarta ialah kenaikan elaun anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang disifatkan tidak kena pada waktunya ketika rakyat negara itu sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

Lanjutan  itu mereka turun ke jalanan dan menjadikan hadapan bangunan DPR sebagai medan untuk melakukan bantahan terhadap anggota-anggota dewan itu. Mereka juga turut menuntut supaya DPR dibubarkan.

Segalanya bermula pada 19 Ogos di Kompleks Parlimen Jakarta apabila Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Adies Kadir mengumumkan bahawa pemerintah menaikkan elaun beras dan minyak untuk anggota DPR penggal 2024-2029.

Mengimbas kembali laporan Tempo.co pada 22 Ogos lalu, Adies mengumumkan elaun beras anggota DPR naik daripada Rupiah (Rp) 10 juta (RM2,562) kepada Rp12 juta (RM3,074) sebulan manakala elaun minyak dinaikkan menjadi Rp 7 juta (RM1,793) sebulan berbanding Rp 4 juta (RM1,024).

Adies memberi alasan bahawa  kenaikan itu diberikan kerana Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati  kasihan kepada  anggota DPR.

“Menteri Kewangan juga kasihan dengan kawan-kawan DPR. Jadi dinaikkan dan ini juga kami ucapkan terima kasih dengan kenaikan itu. Jadi yang naik cuma tunjangan (elaun) saja yang saya sampaikan tadi, tunjangan (elaun) beras kerana kita tahu beras dan telur juga naik,” katanya.

Adies mendakwa gaji pokok anggota DPR tidak mengalami kenaikan selama 15 tahun terakhir. Selain elaun yang naik, anggota DPR juga menerima elaun rumah sebanyak Rp 50 juta (RM12, 810) sebulan sebagai pampasan tidak lagi mendapat rumah kerajaan.

Berikutan kenaikan itu ia menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara yang tinggi, tambahan pula kenaikan tersebut semakin ‘menggemukkan’ lagi poket anggota DPR berkenaan.

Berikut perincian jumlah gaji dan elaun diterima oleh anggota DPR:

 Gaji Pokok

Ketua DPR: Rp 5.04 juta  (RM1,300) sebulan

Wakil Ketua DPR: Rp 4.6 (RM1,200) sebulan

Anggota DPR: Rp 4.2 juta (RM1,000) sebulan

Tunjangan (elaun)

Anggota DPR menerima berbagai jenis tunjangan (elaun) yang jumlahnya bersesuaian dengan jawatan masing-masing.

Elaun Kehormatan (tanggungjawab, penghormatan) berikutan jawatan atau kedudukan mereka:

Ketua: Rp 6.6 juta (RM1,690) sebulan

Timbalan  Ketua: Rp 6.45 juta (RM1,650) sebulan

Anggota: Rp 5.58 juta (RM1,430) sebulan

Tunjangan Komunikasi Intensif (elaun keraian)

Ketua: Rp16.46 juta (RM4,220) sebulan

Timbalan Ketua: Rp16.009 juta (RM4,100) sebulan

Anggota: Rp15.554 juta (RM3,990) sebulan

Tunjangan peningkatan fungsi pengawasan dan belanjawan

Ketua: Rp 5.25 juta (RM1,350) sebulan

Timbalan Ketua: Rp 4.50 juta (RM1,150) sebulan

Anggota: Rp 3.75 juta (RM960) sebulan

Bil elektrik : Rp 3.500 (RM900) sebulan

Bil telepon: Rp 4.200 (RM1,000)  sebulan

Mengikut undang-undang anggota DPR juga berhak mendapat elaun keluarga, elaun Hari Raya serta elaun perubatan.

Secara keseluruhan pendapatan gaji dan elaun Ketua DPR adalah sekitar RM28,110, Timbalan Ketua DPR (RM27,617) dan Anggota DPR (RM26,957).

Semalam Presiden Indonesia Prabowo Subiato mengumumkan pemansuhan beberapa elaun anggota DPR yang dianggap banyak sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat.

Prabowo terpaksa bertindak demikian kerana tidak mahu keadaan menjadi semakin memanas sehingga menjebak Indonesia dalam demonstrasi yang boleh mencetuskan rusuhan di negara itu.

Sememangnya Prabowo telah melakukan tindakan bijak apabila berbuat demikian kerana ia ternyata meredakan kemarahan rakyat sekaligus mengelakkan Indonesia dilanda rusuhan seperti tahun 1998.

Ketika itu Prabowo  yang merupakan menantu kepada Presiden Suharto dan  Panglima Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat (Kostrad) menyaksikan apa betapa hebatnya suara keramat rakyat. Pastinya beliau tidak mahu ia berulang!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img