MENTERI Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan daging lembu yang ditembak beliau selepas mengamuk tidak diagihkan kepada penerima korban.
Sebaliknya, kata beliau daging haiwan itu diasingkan bagi mengelakkan sebarang polemik.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan timbul salah faham berhubung status haiwan berkenaan selepas insiden terbabit tular di media sosial.
Katanya insiden di Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis baru-baru ini itu melibatkan lembu korban bernombor 22 daripada keseluruhan 25 ekor lembu yang disediakan dalam program berkenaan.
Abu Bakar berkata, pada awalnya beliau tiada di lokasi kerana pulang menghantar isterinya ke rumah sebelum menerima panggilan daripada petugas memaklumkan lembu terbabit terlepas dan mula mengamuk.
“Bila saya balik, mereka telefon kata, ‘tolong bos, ada lembu terlepas dan mula mengamuk’. Jadi saya turun semula ke lokasi.
“Sebelum tindakan (melepaskan tembakan) itu dibuat, saya pastikan kawasan itu selamat dan orang ramai tidak berada di kawasan tersebut,” katanya lapor Buletin TV3.
Abu Bakar turut menegaskan beliau merupakan pemegang lesen sah bagi senjata api yang digunakan dalam kejadian itu serta yakin mampu mengendalikannya dengan baik.
Pada masa sama, Abu Bakar berkata, beliau turut memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.
Beliau turut mencadangkan supaya satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan khusus diwujudkan bagi menangani insiden haiwan korban mengamuk pada masa hadapan.
Katanya, garis panduan itu penting bagi membantu pihak penganjur dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku kejadian serupa, selain memastikan keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan.
Terdahulu, polis mengesahkan merampas selaras senapang dan sembilan butir peluru dipercayai digunakan dalam insiden tembakan terhadap seekor lembu yang mengamuk di Kuala Perlis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tembakan itu dilepaskan selepas lembu berkenaan mengamuk dan didakwa mengancam keselamatan petugas serta orang awam di lokasi program.


