SEHINGGA pagi ini dan dalam tempoh 32 hari lalu—sebagai tindak balas terhadap perang dengan Amerika Syarikat dan Israel, Iran telah melancarkan sekurang-kurangnya 5,644 peluru berpandu dan dron ke arah tujuh negara Arab, terutamanya di rantau Asia Barat.
Dalam tempoh yang sama, menurut agensi berita Andalou, turut dilaporkan satu serangan melibatkan dua pesawat pejuang.
Serangan yang bermula sejak 19 Mac lalu disifatkan Tehran sebagai respons terhadap “pencerobohan berterusan Amerika Syarikat dan Israel”.
Pegawai Iran menegaskan bahawa sasaran serangan bukan negara terlibat, sebaliknya “pangkalan dan kepentingan Amerika”.
Berdasarkan laporan tersebut, Emiriah Arab Bersatu mencatat jumlah serangan tertinggi, diikuti Kuwait, Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Jordan, manakala Oman mencatat jumlah paling rendah.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk, Jassem Al-Budaiwi pada 26 Mac memaklumkan bahawa lebih 5,000 peluru berpandu dan dron telah dilancarkan ke negara-negara Teluk, yang menurutnya mewakili kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan serangan Iran dalam konflik ini.
Butiran serangan di beberapa negara:
* Emiriah Arab Bersatu: Kementerian Pertahanan melaporkan 433 peluru berpandu balistik, 19 peluru berpandu kruis dan 1,977 dron dilancarkan ke arah negara itu.
* Kuwait: Tentera Kuwait mengesan 312 peluru berpandu balistik, 2 peluru berpandu kruis dan 636 dron.
* Bahrain: Sebanyak 182 peluru berpandu dan 400 dron dilaporkan.
* Qatar: Sekurang-kurangnya 206 peluru berpandu dan 96 dron, selain dua pesawat pejuang jenis Sukhoi Su-24pada hari keempat perang.
* Arab Saudi: Berdasarkan pemantauan media rasmi seperti Al Ekhbariya, sekurang-kurangnya 65 peluru berpandu dan 1,025 dron dilaporkan dilancarkan.
Namun, perkara yang mencuri perhatian ialah kenyataan rasmi negara-negara tersebut yang mendakwa hampir semua pelancaran Iran berjaya dipintas dan dimusnahkan. Dakwaan ini dilihat bercanggah dengan laporan beberapa sumber Barat.
Malah, akhbar The New York Times dalam laporan terdahulu menyatakan bahawa kesemua 13 pangkalan Amerika Syarikat di negara-negara Teluk kini tidak lagi boleh digunakan, susulan serangan Iran yang menjejaskan keupayaan operasi pangkalan tersebut.


