DBKL roboh lapan gerai peniaga pakaian ‘bundle’ di Chow Kit

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap lapan perniagaan pakaian terpakai atau bundle dalam operasi bersepadu di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Rabu lalu.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu dilaksanakan selepas tempoh notis pengosongan tapak kepada pemilik perniagaan tamat.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan membabitkan penyitaan barangan perniagaan, pemindahan halangan serta perobohan struktur gerai yang dibina tanpa kelulusan di laluan siar kaki dan jalan awam.

“Tindakan diambil terhadap lapan aktiviti perniagaan pakaian terpakai termasuk merobohkan struktur binaan gerai yang dibuat tanpa kelulusan di laluan siar kaki dan jalan awam.

“Kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” menurut kenyataan itu, semalam.

DBKL memaklumkan, semua barangan dan peralatan perniagaan termasuk khemah, gerobok besi, seluar, baju dan topi dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk penyimpanan serta dokumentasi lanjut.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan laluan dan kemudahan awam tidak dihalang aktiviti perniagaan.

Semua pemilik perniagaan turut diingatkan supaya mematuhi syarat lesen ditetapkan serta tidak meletakkan halangan di laluan pejalan kaki, jalan raya, petak parkir dan kawasan awam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here