SAMBUTAN Deepavali perlu dimanfaatkan sebagai ruang mempererat hubungan antara kaum, merapatkan jurang perbezaan serta menyuburkan semangat keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan perlu terus menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta tradisi.
Menurut beliau, sambutan Pesta Cahaya itu juga diharapkan dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan rakyat untuk membina pemikiran lebih terbuka, murni dan progresif.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi mengangkat martabat rakyat, selain memastikan keharmonian serta perpaduan negara terus terpelihara.
“Deepavali hadir membawa sinar kegembiraan, menyemarakkan semangat ‘pesta cahaya’ yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan keburukan serta ilmu membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan keangkuhan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat yang meraikannya.
“Semoga cahaya Deepavali terus menyinari kehidupan dengan kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berharap sambutan berkenaan terus menjadi simbol penyatuan masyarakat serta menyemarakkan nilai ihsan dalam membina sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.





