Dua anggota MALBATT cedera ringan akibat kesan sampingan serangan udara

DUA  anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 mengalami kecederaan ringan akibat kesan sampingan susulan serangan udara yang berlaku berhampiran Haris, Lubnan, pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata insiden itu dilaporkan berlaku pada jam 9.25 pagi waktu tempatan, kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di kawasan Tibnin. Ketika kejadian, konvoi logistik MALBATT 850-13 sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.

“Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan, manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran.

“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 telah diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta menguruskan pemulihan kenderaan (vehicle recovery) yang terjejas kembali ke pangkalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkatam  pasukan yang tiba di lokasi turut melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur semula pergerakan konvoi bagi memastikan ia kembali ke pangkalan dengan selamat.

“Kedua-dua anggota yang cedera telah menerima pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan. Waris anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan,” jelasnya.

Susulan itu, Mohamed Khaled memaklumkan MALBATT 850-13 akan mempertingkat tahap kesiapsiagaan termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi.

Ia termasuk memperkemas pemantauan situasi keselamatan semasa serta memperkukuh koordinasi dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Beliau juga berkata, MINDEF melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau perkembangan keselamatan di kawasan operasi dan memastikan tahap kesiapsiagaan anggota berada pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan serta kelancaran misi pengaman di Lubnan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img