‘’Kami akan letakkan paku terakhir di keranda AS di Asia Barat – Ketua Hakim Iran

KETUA Badan Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni-Ejei, berkata rakyat negara itu tidak gentar dengan ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sambil menegaskan bahawa Tehran akan “memaku paku terakhir” ke dalam keranda pengaruh Amerika di rantau Asia Barat.

Menerusi hantaran di platform X pada Khamis, Mohseni-Ejei berkata rakyat Iran kekal “teguh dan tidak berganjak seperti gunung” serta komited mempertahankan asas dan identiti Republik Islam Iran.

“Rakyat kami tidak takut terhadap ancaman daripada Trump atau individu lain daripada kelompok yang korup seperti itu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Iran melihat maruah dan keselamatan sebenar melalui pengorbanan demi agama dan tanah air mereka.

Menurut beliau, Amerika Syarikat dan presidennya yang disifatkan sebagai “jahat” perlu memahami bahawa “persamaan strategik dan susunan keselamatan di rantau Asia Barat tidak akan kembali kepada keadaan sebelum ini.”

“Dengan izin Tuhan, Iran Islam akan memaku paku terakhir ke dalam keranda Amerika Syarikat di rantau Asia Barat,” tegas Ketua Badan Kehakiman itu.

Beliau turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di dalam Iran pada malam Rabu dan menerima tindak balas pantas daripada Angkatan Bersenjata Iran.

Mohseni-Ejei mengkritik kepimpinan Amerika, khususnya presidennya yang disifatkan sebagai “hina’, sambil berkata masalah utama mereka ialah kegagalan memahami erti maruah rakyat Iran.

“Semua pihak mesti mengetahui bahawa bagi seorang Muslim Iran, mempertahankan tanah air bukan sekadar melindungi wilayahnya, tetapi juga mempertahankan maruah, identiti dan warisan tamadun yang agung,” katanya.

Beliau berkata perhimpunan rakyat di jalanan yang berlangsung selama lebih 100 malam membuktikan “tekad kukuh rakyat dan Angkatan Bersenjata kami untuk memberikan tindak balas yang menghancurkan terhadap sebarang pencerobohan musuh.”

Tambah beliau, 47 tahun telah berlalu sejak kemenangan Revolusi Islam Iran, yang menurutnya diasaskan atas kehendak rakyat dan berkembang melalui perpaduan nasional.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, ekonomi dan antarabangsa sepanjang tempoh tersebut, beliau menegaskan bahawa perjalanan Revolusi Islam terus bergerak ke hadapan.

Ketegangan di rantau itu meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada akhir Februari.

Angkatan Bersenjata Iran kemudian melancarkan 100 gelombang serangan balas udara yang disifatkan berjaya terhadap sasaran strategik dan sensitif Amerika serta Israel di seluruh rantau berkenaan.

Empat puluh hari selepas perang itu, gencatan senjata yang diusahakan oleh Pakistan menerusi rundingan di Islamabadmula berkuat kuasa antara Tehran dan Washington. Kedua-dua pihak kini dilaporkan meneruskan rundingan secara berkala bagi menamatkan konflik tersebut secara kekal.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img