MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berhubung fenomena El Niño serta implikasinya terhadap negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri .
‘’Ia bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh selain kesiapsiagaan di peringkat akar umbi mesti diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mendepani kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Perdana Menteri berkata, turut diadakan ialah pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation mengenai hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara.
‘’Ketika itu kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri, dengan kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,’’ katanya.
Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia, ketegangan geopolitik dan pelbagai krisis global yang kian mencabar, Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat terbanyak sentiasa terjaga, serta ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang.






