SEORANG ibu dan anak perempuannya antara tiga yang didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini kerana melakukan rompakan serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.
Tertuduh lelaki, G Thananjayan, 41; Nur Fadzlin Mohamed Salim, 27, dan ibunya, Azura Abdul Latiff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 32 tahun.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Batu Ferringhi pada jam 5.30 pagi, 13 April lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen manakala kesemua tertuduh diwakili peguam A Mahesh.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang.
Namun Mahesh memohon jumlah itu dikurang dengan alasan anak guamnya bekerja di premis kitar semula dan tertuduh yang berusia 27 tahun bekerja sebagai pembantu klinik manakala ibunya tidak mempunyai pekerjaan.
Mahesh berkata, ketiga-tiga mereka menetap di negeri ini dan tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mendekati mangsa atau saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan.
Difahamkan, lelaki yang dicederakan merupakan kekasih kepada tertuduh wanita berusia 27 tahun itu, manakala lelaki yang turut dituduh bersama adalah rakan kepada ibunya.


