PROJEK menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang menjadi antara tulang belakang rangkaian rel negara dijangka siap lebih awal iaitu pada tahun hadapan.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, projek sepanjang 265 kilometer yang melibatkan laluan Abdullah Hukum–Pelabuhan Klang serta Salak Selatan–Seremban itu pada asalnya dijadual siap pada 2029.
Menurut beliau, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, kerja pembinaan kini melibatkan penutupan landasan naik (upline) di sebelah kanan.
Katanya, perkhidmatan Komuter, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan kargo ketika ini terpaksa berkongsi satu landasan sahaja (downline) di sebelah kiri buat sementara waktu.
“KTMB juga terpaksa mengurangkan jumlah perkhidmatan daripada 260 sehari sebelum ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja binaan terutama ketika tempoh penutupan penuh landasan bermula pukul 9.30 malam hingga 5.30 pagi.
“Fokus kami adalah penumpang yang bekerja di Kuala Lumpur. Pada waktu pagi, tren dari Pulau Sebang akan masuk ke ibu kota manakala sebelah petang tren akan keluar dari KL Sentral ke Pulau Sebang,” katanya selepas Program Lawatan Tapak Bersama Media Meninjau Projek KVDT2 dari Stesen Bandar Tasik Selatan ke Kajang hari ini.
Dalam pada itu, Afzar berkata, penaiktarafan dilakukan kerana infrastruktur sedia ada yang dibina sejak 1994 memerlukan pembaharuan sistem semboyan, komunikasi dan kapasiti beban landasan.
“Landasan ini dinaik taraf daripada kapasiti 16 tan beban ganda (axle load) kepada 20 tan.
“Penaiktarafan ini dapat memastikan operasi tren lebih selamat, lancar serta meningkatkan tahap keselesaan dan kekerapan tren.
“Jika sekarang kekerapan adalah sekitar 20 minit, kami sasar untuk mengurangkannya kepada 15 minit malah boleh mencecah sehingga 7.5 minit bagi kawasan pusat bandar sebaik projek ini siap sepenuhnya,” katanya.
Mengulas mengenai isu kecurian kabel, beliau berkata, kabel baharu akan ditanam lebih dalam iaitu sedalam 0.8 meter selain rondaan berkala akan dipergiatkan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA), Manoj Radhakrishnan berkata, komitmen bersama antara kerajaan, KTMB, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan pihak kontraktor membolehkan garis masa projek dipendekkan berbanding sasaran asal.
Menurutnya, kemajuan projek kini tertumpu kepada dua laluan utama iaitu Bandar Tasik Selatan ke Seremban serta Abdullah Hukum ke Pelabuhan Klang.
“Bagi laluan Pelabuhan Klang, kami sudah menyiapkan satu landasan dan tren kargo kini sudah mula beroperasi dengan kapasiti beban gandaan 20 tan.
“Sebaik sahaja kami menyiapkan persimpangan dari Bandar Tasik Selatan ke Bangi, keseluruhan landasan projek ini akan mencapai tahap 50 peratus siap,” katanya.
Beliau berkata, projek KVDT2 juga merupakan antara kekangan utama bagi KTMB untuk menjalankan perkhidmatan ETS penuh yang lebih pantas dari Johor Bahru ke Padang Besar.
“Apabila siap nanti, kita boleh memindahkan lebih banyak pergerakan kontena dari jalan raya ke landasan rel selaras dengan inisiatif Road-to-Rail kerajaan,” katanya.


