DUA lelaki masing-masing berusia 42 dan 50 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang di Tanjung Rambutan di Ipoh petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.55 petang bagi membawa keluar mangsa.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun tiba di lokasi kejadian pada jam 3.28 petang dan mendapati anggota polis sudah berada di tempat kejadian.
“Kedua-dua lelaki itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berhampiran sungai, kira-kira 600 meter dari laluan masuk.
“Anggota kami perlu meredah hutan untuk sampai ke lokasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, anggota bomba menggunakan pengusung untuk membawa keluar mangsa dengan memakai jaket keselamatan sepanjang operasi.
Beliau berkata, mangsa dibawa menyeberangi sungai sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.
“Pegawai perubatan mengesahkan kedua-dua lelaki itu sudah meninggal dunia sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sabarodzi berkata, lapan anggota bomba bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) terbabit dalam operasi berkenaan.
Operasi yang turut dibantu lima anggota polis dan enam pegawai KKM itu berakhir sepenuhnya pada jam 5.05 petang.





