TINDAKAN dua lelaki menjadi orang upahan Ah Long dengan mengganggu serta mengugut peminjam membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Tertuduh, Khairul Helmy Abd Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama mengganggu seorang lelaki dengan menyimbah cat merah ke atas keretanya di Taman Sri Putra, Sungai Petani, jam 3.30 pagi pada 14 Mac lalu.
Mereka turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi lelaki dengan menyimbah cat kuning pada sebuah kereta Naza Forte dan pintu pagar sebuah rumah di Taman Berjaya, jam 5.30 pagi pada 21 April lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(B)(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mengikut peruntukan itu, pesalah boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama.
Mereka turut dikenakan tambahan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM10,000 dan dipenjara 10 bulan.
Mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman penjara empat bulan jika mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Hazwani Md Noor, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nur Farahin Saad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).






