DUA wanita dipercayai anak beranak maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda yang terbabas selepas melanggar kerbau melintas di Kilometer 33, Jalan Kebun Baru–Bukit Serampang dekat Sri Ledang di Tangkak malam tadi.
Kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda City berwarna merah dinaiki dua wanita terbabit dan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna kelabu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.15 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mitsubishi Triton terlanggar seekor kerbau yang melintas secara tiba-tiba di atas jalan.
“Berikutan perlanggaran itu, pacuan empat roda berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta Honda City,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Roslan, penumpang hadapan sebelah kiri Honda City, seorang wanita berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu Honda City iaitu seorang wanita berusia 42 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak.
“Dua penumpang belakang Honda City serta pemandu Mitsubishi Triton yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat,” tambahnya sambil memberitahu kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Roslan dalam pada itu menasihatkan pemilik ternakan supaya memastikan haiwan mereka tidak dibiarkan berkeliaran sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan lebih berhati-hati, terutama di kawasan gelap dan berisiko.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli di talian 012-230 6943 bagi membantu siasatan,” katanya.


