DUA lelaki warga asing maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh dari dari kren pengangkat atau jentera skylift ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira jam 3.50 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk apartmen berkenaan.
“Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, kedua-dua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan jentera skylift.
“Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat dan semua mangsa berusia antara 38 hingga 46 tahun,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.


