DUA remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui maut di Flat Sungai Pari yang terbiar, berhampiran Buntong di Ipoh, semalam.
Kedua-dua mangsa yang juga rakan karib, adalah pelajar di sekolah sama di Ipoh dan menghadiri sesi petang persekolahan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendedahkan remaja berkenaan didakwa meninggalkan perkarangan sekolah secara sukarela, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.
“Pada peringkat ini, siasatan masih belum menemui sebarang bukti yang menunjukkan pembabitan mana-mana pihak lain.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan, dan punca sebenar kematian hanya boleh disahkan selepas pemeriksaan bedah siasat dan analisis forensik selesai,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Alwi menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa dan menggesa orang ramai untuk menghormati privasi keluarga mangsa.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.
Sementara itu ibu salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata, dia menghantar anaknya serta rakannya itu ke sekolah dari kediaman mereka di Menglembu kira-kira jam 1 petang.
Bagaimanapun katanya, sekitar jam 4.50 petang, satu panggilan diterima, memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong tersebut.
“Saya sempat tengok keadaan dia, masih memakai baju PJ (pendidikan jasmani), pakaian sama sepertimana saya hantar ke sekolah tadi. Saya tidak tahu kenapa anak saya boleh berada di sini. Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pun datang ke tempat begini,” katanya lapor Sinar Harian.
Seela mengakui masih terkejut dan sukar menerima kejadian yang berlaku apatah lagi mangsa tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap.
Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak pernah mengadu apa-apa masalah berkaitan sekolah.
“Anak saya memang pendiam sedikit tetapi sepanjang pengetahuan saya, semua hal sekolah dan pelajaran dia dalam keadaan baik.
“Selama ini, pergi dan balik sekolah, saya yang hantar dan jemput, setiap hari. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi proses bedah siasat sebaik pasukan forensik selesai menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Flat Sungai Pari yang dikenali dengan panggilan ‘Sungai Pari Tower’ atau ‘Tingkat 15’ itu pernah menjadi bangunan tertinggi di Malaya Utara dan simbol ikonik bandar Ipoh kerana mempunyai reka bentuk bumbung berbentuk mangkuk.
Projek perumahan awam yang dibina pada 1963 itu bagaimanapun telah dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 berikutan kebimbangan terhadap struktur bangunan.






