SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya di sebuah rumah di Sungai Udang, Melaka minggu lalu.
Tertuduh, Saiful Hadi Othman, 44, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Muhamad Hanafi Yusof, 25, di sebuah rumah di Jalan Mohd Akhir, Batu 12, Sungai Udang, pada 11 Mac lalu, antara jam kira-kira 7.58 malam hingga 8.15 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika tidak dihukum gantung.
Tertuduh yang memakai baju lokap mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga seorang duda berikutan kesalahan membunuh di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat selepas dipohon pendakwaan dan tiada jaminan dibenarkan.
Media sebelum ini melaporkan pertelingkahan berkenaan telefon bimbit membawa kepada kematian lelaki yang dipercayai ditikam rakan dengan senjata tajam di beranda sebuah rumah di Kampung Sungai Udang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh suspek.
Menurutnya, mangsa ditemukan dengan kecederaan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di bahagian kiri dada.


