DEWAN Negeri ke-15 Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri dalam tempoh 60 hari seperti diperuntukkan undang-undang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, pihaknya telah menerima surat pemakluman pembubaran daripada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman, bertarikh 5 Jun 2026.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“SPR secara rasminya telah menerima pemakluman berhubung pembubaran Dewan Negeri ke-15 Negeri Sembilan melalui surat bertarikh 5 Jun 2026 yang dikemukakan oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan Fasal 56(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri berkenaan.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Negeri Sembilan. Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan kemudian,” katanya.


