MAHKAMAH Sesyen Lahad Datu hari ini merekodkan pengakuan tidak bersalah seorang operator kilang kelapa sawit yang didakwa merogol adik kandungnya sehingga mangsa hamil 20 minggu, Disember tahun lalu.
Tertuduh berusia 31 tahun yang berasal dari Kunak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhailla Selag.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol adik kandung perempuan berusia 17 tahun (ketika kejadian) yang mana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 2 petang hingga jam 5 petang di sebuah rumah pekerja ladang di Kunak pada Disember tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang sepuluh sebatan
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh diwakili peguam Sylyester Kuan.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan alasan dia menetap jauh daripada mangsa serta memberi jaminan tidak akan mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi pendakwaan sepanjang tempoh prosiding.
Bagaimanapun, Shearil Aizad membantah permohonan itu dengan alasan tertuduh adalah abang kandung kepada mangsa dan berpotensi mempengaruhi atau mengganggu saksi pendakwaan sekiranya dibebaskan.
Mahkamah menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia (DNA) dan laporan perubatan mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh terus ditahan reman tanpa sebarang tawaran jaminan.


