Empat lelaki didakwa bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

EMPAT lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit, bulan lalu.

Mohamad Iekram Mohd Zaki, 29, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan; Mohamad Bakri Mahidin, 37, dan adiknya, Muhamadariff Mahidin, 26, masing-masing buruh serta Mohd Firdaus Che Mustafa, 36, pekerja cuci kereta, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama didakwa membunuh Mohd Badaruddin Md Nayan, 30, antara jam 1.30 petang hingga 3 petang pada 23 Ogos lalu di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sungai Division, di sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh.

Mahkamah turut dimaklumkan peguam Durratul ‘Ain Mahmud Morshidi yang bertindak sebagai Amicus Curiae bahawa dua tertuduh memerlukan rawatan kesihatan.

Mohamad Iekram merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal akibat kemalangan, manakala Mohamad Bakri memerlukan alat bantuan pernafasan berikutan masalah asma.

Bagaimanapun, majistret mengarahkan kedua-dua tertuduh mendapatkan kebenaran daripada warden penjara sebaik ditempatkan di sana sekiranya memerlukan bantuan perubatan.

Kes akan disebut semula pada 15 November depan bagi mendapatkan laporan kimia dan hasil bedah siasat, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 24 Ogos lalu membolehkan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh.

Menurut Adzli, punca kematian mangsa disyaki akibat kecederaan hentakan di belakang kepala menggunakan objek tumpul.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here