DUA wanita yang bekerja sebagai pengasuh dan kakitangan taska direman enam hari secara berasingan kerana disyaki mengasari kanak-kanak dalam dua kejadian berasingan di Pahang.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, seorang wanita berusia 31 tahun direman bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di sebuah taska di Bukit Setongkol, Kuantan.
“Reman diperoleh selama enam hari mulai 7 hingga 12 September ini dengan penahanan seorang wanita berusia 31 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Media sebelum ini melaporkan wanita yang juga kakitangan taska itu ditahan semalam selepas rakaman video kejadian tular di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan mangsa dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepalanya oleh seorang wanita yang juga kakitangan taska terbabit.
Dalam kes berasingan, Azry Akmar berkata, seorang wanita berusia 26 tahun turut ditahan kerana disyaki mengasari kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taska berhampiran Temerloh.
Katanya, perintah reman terhadap pengasuh terbabit juga bermula hari ini sehingga Sabtu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Penahanan wanita berkenaan susulan rakaman video yang memaparkan kejadian kanak-kanak terbabit disyaki dikasari pengasuh di taska turut tular di media sosial.
Kedua-dua kejadian berkenaan mendapat perhatian dan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat selepas rakaman video masing-masing tersebar di media sosial.





