Empat maut Lebuhraya KL-Karak : Pemandu treler bebas dengan jaminan polis

PEMANDU treler yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), dekat Bentong pada Ahad lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadapnya berakhir semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 40 tahun itu sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, tempoh reman yang bermula Isnin lalu telah tamat dan suspek dibebaskan sementara menunggu siasatan lanjut diselesaikan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kini sedang melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Polis Pahang di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Pekan, hari ini.

Menurut Yahaya, pihak polis masih menunggu laporan makmal sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang pada 14 Jun lalu, empat sekeluarga dari Felda Mempaga 1 maut di lokasi selepas kereta Honda City yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta, A Halim Hasoon, 55, isterinya Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka Norbahyah A Halim, 26, serta cucu berusia setahun, Nayla Afya Aizat Faizal.

Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan habuk kayu itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img