PGA rampas kayu, jentera RM2.03 juta, tahan 10 individu

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis kayu, jentera dan peralatan pemprosesan kayu bernilai lebih RM2 juta serta menahan 10 individu dalam serbuan ke atas sebuah kilang pemprosesan kayu yang dipercayai beroperasi melanggar peraturan di Kampung Bukit Lawang, Hulu Nerus, semalam.

Serbuan menerusi Op Khazanah itu dijalankan anggota Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu bersama Bahagian E5 Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan bantuan Pejabat Hutan Daerah Terengganu kira-kira jam 11 pagi.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan kayu yang disyaki melanggar peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki tempatan dan empat warga Indonesia sedang bekerja di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan premis mendapati pihak yang mengendalikan operasi gagal mengemukakan dokumen atau lesen berkaitan kayu yang disimpan dan diproses di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan turut menemukan sejumlah besar kayu pelbagai spesies yang disyaki tidak bercukai selain peralatan dan jentera yang digunakan untuk aktiviti pemprosesan kayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara jentera yang dirampas ialah tiga mesin gergaji berantai (band saw), 63 bilah mesin potong silang (cross cut blade), tiga mesin pengasah mesin potong silang serta tiga jentera berat jenis Caterpillar.

Turut dirampas sebanyak 694 batang kayu bulat pelbagai spesies dan saiz serta 14,188 batang kayu siap pelbagai spesies dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.03 juta.

Ahmad Radzi berkata, semua individu yang berada di premis itu ditahan bagi membantu siasatan sebelum tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Daerah Setiu untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemilik kilang dipercayai mengendalikan operasi tanpa mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Urusan pembelian kayu dipercayai menggunakan modus operandi orang tengah dengan bayaran tunai bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kayu yang disyaki tidak bercukai disembunyikan di kawasan berhampiran dalam kawasan tanah persendirian,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras kegiatan yang menjejaskan sumber hutan negara serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang perhutanan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img