Fahmi kecam tindakan buli dan ugut Ummi Umairah, gesa mangsa buat lapor polis, MCMC

MENTERI  Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengecam tindakan membuli dan mengugut mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, susulan pandangan yang disuarakannya dalam satu forum, sambil menggesa semua mangsa buli siber membuat laporan segera kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya,  tindakan mengherdik dan mengugut mahasiswa berkenaan, termasuk ancaman untuk mencarinya di universiti tidak mencerminkan adab dalam berkomunikasi serta tidak sepatutnya berlaku hanya kerana perbezaan pandangan.

“Kita boleh berbeza pandangan, tidak jadi masalah. Dalam kes adik Ummi ini, beliau menyuarakan pandangan dan kita tahu sekarang mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara.

“Maka, kita perlu raikan kerana ia tidak melanggar apa-apa undang-undang, malah tidak bersifat jenayah. Beliau hanya menegur perkara berkaitan jenayah rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Smart Parents Interactive Hub di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi berkata walaupun terdapat pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan nada atau cara mahasiswa berkenaan menyampaikan pandangannya, perkara yang lebih penting ialah intipati yang diketengahkan

Beliau berkata pandangan itu mencerminkan hasrat untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang menyokong usaha membanteras kleptokrasi, selain menolak perbuatan menyamun, merompak dan rasuah.

Dalam forum terbuka bersama-sama pemimpin UMNO baru-baru ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.

Pandangan itu kemudiannya mengundang kecaman di media sosial, termasuk komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Fahmi menggesa semua mangsa buli siber supaya segera membuat laporan kepada polis dan MCMC bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pelaku serta mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Beliau berkata MCMC akan menyemak tindakan yang boleh diambil berhubung kes berkenaan, selain menegaskan bahawa suruhanjaya itu akan bertindak secara proaktif dan tidak hanya menunggu laporan dibuat.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan sedang meneliti keperluan untuk memperkenalkan mekanisme kawal selia yang lebih tegas, termasuk proses Kenali Pelanggan Anda (eKYC) dan pengesahan umur, bagi membanteras buli siber menerusi platform pesanan segera seperti WhatsApp.

Beliau berkata walaupun WhatsApp menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun, platform itu masih menimbulkan cabaran dari segi keselamatan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah kerana komunikasi di dalamnya dilindungi penyulitan hujung ke hujung.

“Berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), pada waktu ini mod komunikasi seperti WhatsApp belum lagi terpakai.

“Jadi, saya akan minta pihak MCMC teliti dan berhubung dengan pihak Meta kerana mereka memperkenalkan WhatsApp, dan WhatsApp itu sendiri meletakkan had umur,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here