SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang menyiasat beberapa insiden tingkah laku tidak autentik terancang (CIB) yang menyasarkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, lebih 2,000 kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau bersifat sangat jelik dan 600 akaun palsu, telah dikenal pasti menghina Seri Paduka Baginda.
“Siasatan awal MCMC mendapati kebanyakan akaun palsu yang menyerang Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook dipercayai berasal dari luar negara dan siasatan masih dijalankan. Sekiranya kita mengenal pasti secara positif individu-individu tertentu, kita akan usaha untuk bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya selepas menghadiri Program Smart Parents Interactive Hub di Kuala Lumpur hari ini.
Bagi kes yang menyasarkan Tuanku Muhriz, Fahmi berkata sejumlah akaun palsu dipercayai diwujudkan kira-kira sebulan lepas sebelum digunakan untuk mencetuskan perbincangan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Beliau berkata sesetengah akaun berkenaan tidak mempunyai pengikut atau hanya mempunyai seorang pengikut, sekali gus menimbulkan syak bahawa ia diwujudkan bagi tujuan tertentu.
Dalam pada itu, Fahmi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat supaya menjaga adab ketika berkomunikasi melalui media sosial.
Beliau berkata pengguna tidak seharusnya menganggap hantaran dalam talian tidak membawa sebarang implikasi, termasuk apabila akaun yang digunakan dipercayai akaun palsu.





