Bekas ADUN Duyong DAP tarik diri, tidak setuju perancangan PH Plus

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo memutuskan untuk tidak terlibat dalam kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini berikutan ketidakpuasan hatinya terhadap spekulasi kerjasama pilihan raya dengan Bersatu.

Bekas Pengerusi DAP Melaka itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau mendapat maklumat mengenai kemungkinan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban akan diserahkan kepada Bersatu menerusi perancangan yang dikaitkan dengan PH Plus.

Damien berkata, beliau sebelum ini bertemu seorang lagi bekas Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew bagi membincangkan strategi PH menghadapi pilihan raya negeri itu.

“Luka akibat ditikam dari belakang belum sembuh. Sesetengah pengkhianatan politik terlalu sukar untuk dilupakan, apatah lagi dimaafkan,” katanya dalam hantaran di Facebook, lapor FMT.

Kenyataan itu merujuk kepada peranan Bersatu dalam kejatuhan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Melaka pimpinan PH pada 2020.

Damien turut menegaskan beliau tidak mahu lagi terbabit dalam politik dan kempen pilihan raya selepas mengetahui kemungkinan berkenaan.

“Selepas dengar semua ini, saya telah membuat keputusan: Saya tarik diri. Tiada lagi politik. Tiada lagi kempen pilihan raya.

“Ada perkara lain lebih berfaedah untuk saya lakukan dalam hidup saya. Semoga berjaya kepada semua,” katanya.

Damien menerajui DAP Melaka pada 2021 selepas Kok Kiew meletakkan jawatan sebelum beliau sendiri berundur daripada kepimpinan negeri itu pada 2023.

Beliau memenangi kerusi Duyong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dengan majoriti 2,895 undi, namun tewas kepada Datuk Noor Helmy Abdul Halem daripada UMNO pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 200 undi.

Sementara itu, PH Melaka sebelum ini menegaskan gabungan itu akan bertanding secara bersendirian pada PRN akan datang. Bagaimanapun, spekulasi mengenai kemungkinan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu masih berterusan.

Spekulasi berkenaan semakin hangat selepas pemimpin PH negeri dan Bersatu menghadiri satu majlis makan malam bulan lalu, meskipun wakil DAP tidak menyertainya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here