MALAYSIA khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan kemelut di Selatan Thailand apabila mengumumkan pelantikan Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal sebagai Fasilitator baharu untuk Proses Dialog Damai Selatan Thailand (PDDST)
Berbanding empat fasilitator sebelum ini, Ahmad Norihan adalah calon terbaik bagi melaksanakan amanah itu memandangkan latarbelakang dan pengalaman luas beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau adalah bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Ke-17 dan berjuang bersama ATM selama 33 tahun. Ahmad Norihan memiliki kepakaran dalam perisikan strategik, risikan pertahanan, analisis keselamatan dan pengurusan operasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Berdasarkan rekod itu ternyatalah Ahmad Norihan individu paling tepat untuk melaksanakan misi bagi memastikan PDDST yang diadakan sejak 13 tahun lalu tidak sekadar mesyuarat tanpa hasil dalam usaha menoktahkan konflik di wilayah tersebut.
Sehubungan itu puak-puak pemisah yang mencetuskan konflik di Selatan Thailand harus menjadikan pelantikan Ahmad Norihan sebagai peluang keemasan untuk mencipta damai di wilayah berkenaan.
Di wilayah itu tidak ada mana-mana puak pemisah yang dominan atau menjadi ‘abang besar’. Kalau benar ada puak pemisah sehebat itu pastinya Selatan Thailand sudah lama aman dan tenteram.
Tetapi apa yang kita saksikan ketika ini, biarpun BRN mendabik dada sebagai puak pemisah utama hakikatnya di lapangan ia tidak menunjukkan sedemikian. BRN setaraf dengan puak-puak pemisah lain yang turut mempunyai kepentingan dalam menamatkan konflik tersebut.
Oleh itu tidak perlu lagi sama ada pihak di Malaysia atau Thailand melayan BRN bagaikan ‘menatang minyak yang penuh’, sebaliknya di bawah Ahmad Norihan, beliau harus memastikan semua puak pemisah dijemput menyertai PDDST.
Langkah itu perlu dilakukan kerana setakat ini sudah jelas konflik yang berlarutan sejak 20 tahun lalu tidak ada nampak tanda-tanda akan berakhir walaupun BRN berada dalam proses rundingan damai.
BRN terbukti tidak mampu melakukan apa-apa. Mereka hanya ‘syok sendiri’ kononnya mereka paling layak dipanggil berunding dengan Pemerintah Thailand.
Apa yang kita saksikan di Selatan Thailand ketika ialah ialah tindakan ganas menghancurkan kemudahan awam yang sekaligus menjejaskan kehidupan rakyat. Puak pemisah bukan lagi sekadar menjadikan anggota keselamatan sebagai sasaran sebaliknya ‘kegilaan’ mereka untuk melakukan pembunuhan turut melibatkan orang awam.
Tiada kelompok yang terkecuali, daripada kanak-kanak sekolah hinggalah warga emas semuanya terbujur kaku akibat dibunuh oleh puak pemisah. Atas sebab itulah Malaysia memilih calon terbaik sebagai fasilitator.
Ia kerana Perdana Menteri Malaysia mempunyai iltizam yang tinggi untuk mengembalikan kedamaian di Selatan Thailand. Langkah itu bukan sahaja demi masa depan penduduk Islam di wilayah berkenaan tetapi juga demi kepentingan rakyat Malaysia di sempadan kedua-dua negara.
Dalam memastikan misi itu tercapai adalah wajar jika di pihak Malaysia melakukan perubahan terhadap keanggotaan atau individu yang berada dalam Sekteriat PDDST memandangkan selepas 13 kali rundingan dijalankan, tiada apa-apa apa hasil yang signifikan dicapai.
Langkah itu bagi membolehkan Ahmad Norihan mendapat satu pasukan sekteriat yang benar-benar mantap. Kerajaan harus memberi kuasa penuh kepada bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan tersebut membentuk pasukannya sendiri.
Sekteriat itu memainkan peranan penting dalam menjayakan tanggungjawab Malaysia sebagai fasilitator. Oleh itu individu yang berada di situ harus benar-benar berupaya melaksanakan tanggungjawab berdasarkan pendekatan lebih segar dan bukannya terus berpegang kepada pendekatan lama yang terbukti tidak berjaya.
Sudah terbukti ‘acuan lama’ yang digunakan dalam proses tersebut tidak mendatangkan apa-apa hasil dan paling buruk apabila Sekteriat berkenaan dilihat atau mewujudkan persepsi hanya sekadar menempatkan mereka yang tidak lagi dimahukan oleh agensi.
Justeru Ahmad Norihan harus diberikan pasukan terbaik daripada pelbagai agensi dan mempunyai pengalaman untuk melaksanakan tanggungjawab dalam PDDST.
Malaysia melantik Ahmad Norihan bukan sesuka hati tetapi berdasarkan pertimbangan teliti Perdana Menteri. Pihak yang terlibat dalam PDDST seharusnya tidak mensia-siakan peluang terbaik ini membawa cahaya keamanan ke Selatan Thailand.
Sepertimana penulis katakan, tiada puak pemisah yang dominan atau paling berkuasa di wilayah itu. Semua sama taraf sahaja, tiada apa-apa kelebihan. Oleh itu jika mereka benar-benar berjuang demi kesejahteraan penduduk Islam, maka mereka perlu menjadikan kehadiran Ahmad Norihan untuk mencapai misi tersebut. Cukup-cukuplah bersandiwara.
Penulis percaya dengan pengalaman Ahmad Norihan dan dengan dibantu pasukan berpengalaman, Malaysia boleh menjadi penyumbang utama untuk mencipta keamanan di Selatan Thailand. Kalau itu sudah dilakukan, kalau itu sudah dilaksanakan jika proses damai masih juga gagal maka sewajarnya ia tidak diteruskan supaya kita tidak membuang masa dan wang.





