SEORANG koperal polis parah selepas ditetak dengan parang oleh lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan dadah ketika operasi antidadah di Kampung Lalang Pepuyu, di Tanah Merah semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, anggota berusia 37 tahun itu mengalami keretakan pada tangan kiri dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan bantuan Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Suspek lelaki tempatan berusia 30-an cuba melarikan diri sambil memegang sebilah parang. Anggota polis mengejar suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan melibas parang sehingga mencederakan seorang anggota sebelum berjaya ditahan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil disyaki yaba seberat 0.1 gram dan sebotol cecair dipercayai air ketum.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya. Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Tambahnya, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.
Menurut Mohd Yusoff, tangkapan dibuat menerusi Op Tapis Bersepadu Sempadan yang dilaksanakan JSJN Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di empat daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.
“Operasi ini bertujuan membendung kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.





