KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini memeterai kontrak perolehan Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) kedua, bagi memperkukuh keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam mengawasi keselamatan perairan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan aset itu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kesiapsiagaan maritim, yang meliputi fungsi rondaan, pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Skop tugasannya sangat luas dan meliputi seluruh kawasan maritim negara. Keupayaan Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan juga membolehkan agensi ini mengenal pasti serta memetakan kawasan yang terdedah kepada aktiviti jenayah seperti penyeludupan.
“Kapal ini mampu berlayar lebih lama di laut, selain dilengkapi keupayaan pendaratan helikopter di dek. Dengan panjang kira-kira 99 meter, ia juga dapat menempatkan lebih ramai kru dan meningkatkan keberkesanan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan MPMS Kedua untuk Maritim Malaysia, di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, penambahan aset itu penting bagi memperkukuh kawalan perairan negara, yang meliputi kira-kira 590,000 kilometer persegi, termasuk laluan strategik seperti Selat Melaka.
“Perairan negara kita sangat luas dan berdepan ancaman pencerobohan kapal serta nelayan asing, yang memberi kesan kepada keselamatan dan sumber hasil laut negara,” tambahnya.
Terdahulu, Saifuddin menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan MPMS kedua yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat berpangkalan di Turkiye.
Ia ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoglu.
Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan itu telah diserahkan kepada syarikat berkenaan pada 7 Januari lalu, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ankara.
Dalam perkembangan sama, pembinaan MPMS pertama yang turut dilaksanakan oleh syarikat sama, menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kemajuan semasa sebanyak 68.91 peratus, iaitu mendahului jadual sebanyak 2.91 peratus atau kira-kira 20 hari lebih awal daripada perancangan.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi itu, pihaknya optimis MPMS pertama dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan, dengan jangkaan pada tahun hadapan.


