
‘’Kuasa ini ibarat tabiat suka minum air sirap manis.. susah nak dibuang.. Akhirnya kena kencing manis’’ Itulah kata seorang saudara penulis apabila bercakap soal perebutan jawatan politik.
Memang kata orang kuasa itu adalah ‘candu’ dan kuasa itu juga ibarat pisau sama ada untuk perbuatan baik atau buruk. Begitulah keadaannya bila seseorang ada kuasa, dia ada pilihan sama ada menunaikan segala amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya atau menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Kalaulah mahu menjadi ketua kampungpun sudah rasa cukup berkuasa apatah lagi PM. Atas sebab itulah dalam kalangan ahli politik ada yang betul-betul layak jadi PM, ada yang mahu jadi PM sekali lagi, ada yang hanya bermimpi mahu menjadi PM, ada yang asyik berkhayal ‘kalaulah aku jadi PM’ dan ada pula yang mengigau mahu jadi ‘calon PM’.
Oleh itu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jawatan PM akan dihadkan kepada 10 tahun sahaja, ia amat dialu-alukan oleh rakyat
Dan semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan jemaah menteri bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun sebagai langkah penting bagi memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan di bawah agenda reformasi institusi Kerajaan Madani.
Sememangnya apa yang mahu dilakukan oleh kerajaan itu adalah langkah yang tepat. Ia terbukti apabila kajian tinjauan awam yang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mendapati majoriti besar responden bersetuju tempoh jawatan PM dihadkan.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) S Punitha berkata, 3,722 responden mengambil bahagian dalam kajian yang dilaksanakan selama seminggu bermula 22 Jan lepas.
Daripada jumlah itu, katanya, 89.90% bersetuju dengan kewajaran penetapan had tempoh jawatan PM, 8.27% tidak bersetuju manakala 1.75% tidak pasti. Bagi had tempoh jawatan pula, 62.25% responden bersetuju kepada dua penggal, diikuti 20.61% memilih had maksimum 10 tahun,
Selain itu 58.97% responden menyokong kaedah pengiraan tempoh secara retrospektif, iaitu tempoh perkhidmatan sebelum pindaan turut diambil kira, manakala 35.46% memilih prospektif, 67.60% bersetuju tempoh jawatan perdana menteri perlu dikira secara kumulatif, sama ada berturut-turut atau tidak berturut-turut.
Kajian yang dibuat itu bukan ‘kajian syok sendiri’ tetapi kajian yang dibuat secara telus dan membuktikan rakyat tidak mahu seseorang itu memegang jawatan PM terlalu lama kerana ia boleh menjuruskan kepada penumpuan kuasa yang tidak baik untuk amalan demokrasi.
Ada yang berhujah bahawa tempoh 10 tahun itu terlalu singkat, ada yang berkata bukan soal tempoh tetapi soal keberkesanan kepimpinannya. Kedua-dua hujah itu ada benarnya tetapi perlu diingat pemerintahan negara bukan bergantung kepada PM, pentadbiran negara bukan ditentukan oleh jemaah menteri.
PM dan jemaah menteri hanya membuat dasar dan tindakan atau perancangan tetapi sama ada ia berjaya atau tidak, ia bergantung kepada perkhidmatan awam sama ada agensi mahupun jabatan. Buatlah sebaik manapun dasar, rancanglah sebanyak mana pun tindakan, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan jika di peringkat pelaksanaan ‘hancus’.
Dalam soal rasuah, bukannya kita tidak ada undang-undang, bukannya tidak ada kes yang boleh dijadikan contoh tetapi perbuatan jahat itu tetap juga berlaku kerana ia bergantung kepada individu bukan undang-undang.
Begitu juga seorang PM sudah pasti apabila mengetahui beliau mempunyai tempoh yang terhad pastinya beliau akan berusaha melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya. Lagipun bukan kata 10 tahun, 5 tahun belum tentu kalau tiba-tiba ada parti yang bekerjasama menarik sokongan. Dan kalaupun berjaya capai 5 tahun belum pasti boleh sambung 5 tahun lagi kalau partinya kalah dalam pilihan raya.
Sebab itulah sesiapa juga yang menjadi PM perlu melaksanakan amanah itu dengan berkesan, tak mahulah nanti bila sudah tidak memegang jawatan itu, dok ‘meracau-racau’ hendak jadi PM semula atas alasan banyak yang belum selesai.
Kesimpulannya,mengehadkan jawatan PM ini langkah yang tepat kerana kita tidak mahu mana-mana individu merasakan ia sahaja paling layak memegang jawatan itu. Kalau mahu menjadi calon PM pun sudah ada pemikiran begitu apatah lagi sudah jadi PM.
Apa yang penting langkah kerajaan tersebut amat baik mengelakkan kuasa sebagai PM menjadi ketagihan seperti minum air sirap manis akhirnya kaki dipotong… Jadi 10 tahun sudah cukup, kalau 5 tahun tak berprestasi…rakyat tahu nak potong kat mana.


