PROMOSI pakej haji tanpa perlu menunggu giliran menerusi skim visa mujamalah dan furoda kembali tular menjelang musim haji 2026 di Indonesia dengan pelbagai iklan di media sosial menawarkan pakej “Haji 2026 tanpa antre (giliran)” pada harga mencecah AS$29,900 (sekitar RM118,224) seorang.
Iklan yang dibuat dalam media sosial menawarkan pelbagai kemudahan termasuk tiket penerbangan, penginapan hotel, makanan serta perkhidmatan ibadah di Tanah Suci. Malah, beberapa pakej turut menyatakan jadual keberangkatan awal Zulhijjah 1447 Hijrah serta jaminan pulangan wang 100 peratus sekiranya visa gagal diperoleh, lapor republika.co.id.
Bagaimanapun, Kementerian Haji dan Umrah Republik Indonesia mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran tersebut.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak, menegaskan bahawa hanya visa haji berdasarkan kuota rasmi mempunyai jaminan keberangkatan.
“Sekali lagi, visa yang pasti hanyalah visa haji berdasarkan kuota,” katanya selepas menghadiri pertemuan bersama Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan, Agus Andrianto di Jakarta.
Menurut beliau, tawaran visa mujamalah yang diiklankan di internet tidak mempunyai kepastian kerana kuasa pengeluaran visa sepenuhnya berada di tangan Kerajaan Arab Saudi dan tidak boleh dijamin oleh pihak agensi pelancongan.
Beliau turut menjelaskan bahawa visa furoda yang sering digunakan dalam promosi kini tidak lagi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Fenomena promosi haji di luar kuota ini bukan perkara baharu, berikutan permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat untuk menunaikan ibadah haji serta tempoh menunggu yang panjang bagi haji biasa yang boleh mencecah puluhan tahun.
Namun, kerajaan menegaskan bahawa laluan rasmi menunaikan haji hanyalah melalui kuota yang dipersetujui antara Indonesia dan Arab Saudi. Sebarang urusan di luar sistem tersebut bergantung kepada dasar semasa pihak berkuasa Saudi yang boleh berubah pada bila-bila masa.
Dalam pada itu, Dahnil menjelaskan bahawa visa mujamalah sememangnya wujud sebagai satu bentuk keistimewaan di luar kuota, namun jumlahnya tidak tetap dan bergantung sepenuhnya kepada keputusan tahunan kerajaan Saudi.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya bakal jemaah haji, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memastikan kesahihan penganjur sebelum membuat sebarang bayaran.
“Jangan mudah terperdaya dengan tawaran yang menjanjikan keberangkatan tanpa menunggu, terutama yang menggunakan istilah visa mujamalah atau furoda kerana tahap kepastiannya sangat rendah,” katanya.


