MALAYSIA menjadi bahan sindiran antarabangsa apabila terpaksa mempamerkan kapal perang lama dari tahun 1976 dalam Pameran Maritim dan Aeroangksa Antarabangsa Langkawi (LIMA) kerana ketiadaan aset bahru.
Ketika menyatakan perkara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau segan keadaan itu berlaku kerana sindiran itu dan mencerminkan kelemahan dalam sistem perolehan pertahanan negara walaupun kerajaan membelanjakan jumlah besar untuk sektor itu.
“Atas faktor ketiadaan kapal boleh dipamerkan, kita terpaksa masukkan kapal lama tahun 1976, kecil sekali dan bergerak perlahan. Saya tabik semangat anak kapal, tetapi lihat kapal tahun 1976, maaf saya singgung, ketika itu saya di Kamunting lagi.
“Sebagai negara yang mencatat pembangunan dan pertumbuhan yang membanggakan, perolehan kita sangat lemah walaupun belanja tinggi. Seperti mana yang kita tahu, baik LCS dan lain-lain, kapal tak sampai, jadi bahan lucu bertahun-tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Mildef International Technologies Sdn Bhd, di Seremban hari ini.
Anwar menegaskan, kerajaan kini tidak boleh lagi mengulangi kesilapan lalu, sebaliknya memastikan perolehan pertahanan lebih telus dan bebas daripada amalan rasuah serta komisen berlebihan.
“Sejarah perolehan kita tidak membanggakan, ia sering menjadi ruang untuk ejen dan syarikat mengaut keuntungan berlebihan. Amalan bobrok ini mesti dihentikan,” ujarnya.
Perdana Menteri turut memberi peringatan keras susulan pendedahan penglibatan anggota badan risikan tentera dalam aktiviti penyeludupan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap negara.
“Saya tidak boleh bayangkan orang yang dilatih mempertahankan negara sanggup melakukan kecurangan seperti ini. Malaysia tidak boleh mudah memaafkan pengkhianatan seperti itu,” katanya.
Anwar menambah, kerajaan kini memberi tumpuan kepada rundingan perolehan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi mengelakkan kos melambung akibat campur tangan ejen.
“Bila rundingan Perdana Menteri dengan Presiden, kos boleh turun. Bila runding dengan ejen, kos melambung. Jadi sedapat boleh, runding terus kerajaan dengan kerajaan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan kepada syarikat tempatan, Mildef yang kini berupaya mengeluarkan kereta perisai sehingga menarik minat negara jiran seperti Indonesia.
“Kita sudah capai tahap di mana pengeluaran kita boleh masuk pasaran luar tetapi mesti terus dengan penyelidikan, tatakelola bersih dan hentikan penyelewengan,” ujar beliau.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kelemahan lama dalam industri pertahanan, sambil memberi jaminan peningkatan perbelanjaan untuk sektor itu dibuat atas dasar keperluan dan keselamatan negara.


