‘’Hentikan beri pinjaman sebab hubungan rapat…ada surat kuning,hijau,biru’’ – PM

PERDANA  Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, amalan kronisme menggunakan surat sokongan pelbagai ‘warna’ menjadi punca utama kegagalan agensi Bumiputera yang diwarisi sejak 30 tahun lalu, akibat ketidakseriusan peminjam yang culas menguruskan amanah.

Sehubungan itu beliau meminta semua agensi  Bumiputera menghentikan amalan pemberian  pinjaman berasaskan surat sokongan yang disifatkan boleh ‘melingkupkan’ agenda negara.

“Kita bagi pinjaman sebab ada kaitan rapat dengan orang tertentu, atau surat kuning, hijau, biru. Ini masalah merosakkan kita. Akhirnya kita bantu, dan perniagaan itu lingkup kerana mereka tidak komited,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan tegas akan diambil jika arahan itu dipedulikan demi untuk memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera diurus dengan telus dan berintegriti.

Beliau berkata, terdapat laporan lalu yang menunjukkan segelintir peminjam menyalahgunakan dana bantuan peringkat awal semata-mata untuk kemewahan peribadi.

“Langkah pertama dapat pinjaman buat apa? Pejabat yang megah. Kemudian kenderaan mewah, isteri kedua…kegiatannya hanya untuk menjual lesen dan mendapatkan komisen. Ini semua mesti dihentikan segera,” katanya.

Dalam ucapan itu juga Anwar menegaskan, agenda pemerkasaan Bumiputera bukan lagi tanggungjawab agensi tertentu semata-mata, sebaliknya merupakan agenda nasional yang perlu dilaksanakan oleh semua kementerian, agensi dan syarikat kerajaan.

Beliau  berkata setiap agensi kerajaan perlu menyelaraskan dasar dan program masing-masing, bagi memastikan agenda pembangunan Bumiputera dilaksanakan secara menyeluruh.

‘’Kerajaan juga telah memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang kini dipantau secara berkala dengan setiap kementerian dan agensi diwajibkan melaporkan pencapaian masing-masing,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, semua agensi Kerajaan MADANI bertanggungjawab memenuhi dasar negara iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama menjamin pengagihan yang adil dan saksama.

Anwar turut memaklumkan, kerajaan tidak bercadang menubuhkan agensi Bumiputera baharu, sebaliknya mahu memperkasakan institusi sedia ada serta memastikan semua kementerian dan agensi memainkan peranan masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan itu, akan mempercepat pelaksanaan dasar serta mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi.

“Saya fikir kalau kita ikut teruskan kaedah lama kemudian mengharapkan hasil yang lebih baik, itu tidak mungkin berlaku.

“Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi bumiputera baharu, tetapi saya cenderung memastikan agensi (bumiputera) ini diperkasakan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara, tanpa mengabaikan pengagihan kekayaan secara adil kepada rakyat.

Beliau berkata pembangunan ekonomi negara perlu dilaksanakan secara inklusif, dengan memastikan semua golongan terus mendapat manfaat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img